Subscribe
Add to Technorati Favourites
Add to del.icio.us
Photobucket
Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum. Syukran Di Atas Kunjungan. Untuk Mendapatkan Paparan Lebih Baik, Sila Gunakan Browser Mozilla Firefox. Syukran
Saturday, April 4, 2009

KEAJAIBAN BERWUDUK

Posted by Muslim Rituals

Berwuduk adalah suatu perkara yang mudah, tidak menyukarkan dan sudah pasti ianya mempunyai kepentingan yang tersendiri. Jika dilihat secara teliti,begitu jelas tujuan berwuduk adalah berkepentingan untuk menjaga kebersihan dan kesegaran jasmani dan rohani, di samping mematuhi dan mentaati sunnah Rasulullah s.a.w. Wuduk ini berfungsi membersihkan alat-alat pancaindera yang penting sekali dalam kehidupan seharian, seperti pancaindera untuk menyentuh, merasa, menghidu,melihat dan mendengar. Wuduk sentiasa membasuh bahagian tubuh yang terdedah, oleh itu dengan membasuhnya setiap hari lima kali, maka wuduk dapat mencegah tumbuhnya penyakit dari anggota badan yang terkena basuhan wuduk

Setiap rukun dan sunat dalam wuduk itu mempunyai faedah dan keistimewaan tersendiri. Basuh tangan ke sehingga ke pergelangan tangan. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih kurang 8098 orang dijangkiti virus coronavirus penyebab wabak SARS sejak 2003 di seluruh dunia dan 774 orang meninggal dunia. Mengikut pakar-pakar, salah satu cara perlu dilakukan untuk mencegah merebaknya wabak ini adalah kerap mambasuh tangan. Menurut Dr. Julie Gerberding, Pengarah Disease Control and Prevention (CDC) Amerika “pembersihan tangan merupakan satu-satunya langkah yang penting untuk mencegahnya kuman-kuman”

Berkumur, dari segi fizikalnya dapat membersihkan mulut dan rongga mulut. Menurut Prof. Plinus, seorang pakar bakteria mengatakan : “Air yang berkumur terdapat 40 juta benih-benih penyakit dari pelbagai macam, seperti Basil, Vebrio, Spiril, Coccus seperti Diiplacoccus, Streptcoccus, Stephylococcus, Spirocheata, virus dan lain-lain.” Menurut Malaysia Healthcare Guide (1997) “cara terbaik mencegah kerosakan gigi ialah dengan menggosok gigi setiap kali selepas makan ataupun paling kurang dengan berkumur mulut. Manakala dari segi dalamannya, berkumur adalah bermakna membersihkan mulut dari maksiat, termasuk bercakap bohong dan dengan berkumur berharap mulut ini hanya digunakan untuk kebaikan.

Memasukkan air ke hidung kemudian mengeluarkan semula dikenali sebagai istinsyaq Menurut pakar dari Universiti Alexandria, Ianya adalah amalan membersihkan hidung serta menghilangkan sisa-sisa debu dan kotoran ketika proses pernafasan berlaku. Hidung sebagai tempat pembiakan kuman, sekiranya berwuduk di hidung. membersihkan hidung, dapat menghilangkan jangkitan kuman. Menurut kajin perubatan, istinsyaq boleh menghilangkan 11 jenis bacteria berbahaya dalam hidung yang menyebabkan jangkitan saluran pernafasan, radang paru-paru, rheumatism dan penyakit rongga hidung . memasukkan air ke hidung sekali, dapat membersihkan ½ jumlah kuman. Sekiranya memasukkan dua kali, ia menambah 1/3 kebersihan. Tetapi sekiranya dimasukkan sebanyak tiga kali, pasti hidung benar-benar bersih daripada kuman.

Membasuh muka secara zahiriyah ia sangat berguna untuk menjaga kulit wajah agar tetap segar, sihat dan bersih dari kuman serta penyakit. Menurut Dr. Magomed Magomedov, “apabila orang menyentuh muka semasa berwuduk akan merangsang saraf bagi memberi kekuatan baru (recharge¬) kepada organ-organ seperti usus, perut, pundi kencing, saraf dan sistem peranakan. Dari segi batiniyah, dengan membasuh muka ianya bermakna muka ini akan bersih dari kemaksiatan, bersih dari memandang rendah kepada orang lain dan menjadikan muka penuh dengan keramahan dan keceriaan.

Membasuh kedua belah tangan sampai ke siku secara tidak lansung mampu untuk menghilangkan kuman yang terdapat pada tangan. Seperti dalam kajian yang telah dijalankan terhadap 305 pelajar sekolah di Detroit, kanak-kanak yang membasuh tangan empat kali sehari, tahap kehadirannya lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang kurang membasuh tangan, tahap kehadiran ke sekolah adalah rendah, ini kerana mereka mudah menghidap sakit perut dan penyakit pernafasan. Tambahan lagi, dalam tabloid Medical News Today bertajuk Handwashing Could Save One Million Children’s Live Each Year yang bertarikh 11 Jun 2004 menyatakan bahawa tabiat membasuh tangan yang sempurna dapat menyelamatkan lebih dari satu juta kanak-kanak yang berumur bawah satu tahun di negara miskin. Sekiranya kanak-kanak ini tidak berbuat demikian, mereka akan mudah menghidapi cirit-birit dan radang paru-paru (pneumonia). Manakala secara maknawinya, membasuh tangan adalah mengharapkan tangan itu bersih dari melakukan kezaliman, mencuri, rasuah dan supaya tangan melakukan amal kebaikan.

Bagi meransang bahagian otak pula, wuduk ada caranya iaitu dengan menyapu air ke kepala. Kepala akan menjadi lebih ringan dan sejuk, ini bermakna tekanan yang ada di kepala akan berkurangan dan sekali gus membolehkan otak bergerak dengan lebih lancar. Tambahan pula, ketika menyapukan air di kepala, kita mengharapkan supaya fikiran menjadi bersih dari rancangan-rancangan jahat dan supaya ianya dipenuhi dengan pemikiran yang mampu membawa kearah positif.

Kaki yang digunakan untuk berjalan juga merupakan aspek penting dalam wuduk. Secara logiknya, sememangnya kaki manusia tidak dapat lari daripada kekotoran. Menurut Dr. Magomed, apabila kaki kanan digosok dan dibasuh, ia merangsang sistem saraf bagi mengelokkan sistem tulang, usus, pankreas, hempedu, tiroid dan pinggang. Bagi kaki kiri pula, saraf berperanan mengelokkan kelenjar pituitary dan kawasan otak untuk mengawal sistem endokrin. Oleh yang demikian, Islam telah menyuruh umatnya supaya membersihkan kaki sebelum memijak tempat sembahyang. Apabila rukun membasuh kaki ini dilaksanakan, maka ianya berharap agar kaki yang di basuh tadi, tidak akan melangkah ke tempat maksiat, sebaliknya melangkah ke tempat kebenaran dan juga kebaikan

Secara keseluruhannya, setiap perlakuan dalam wuduk, memberi kesan zahir dan batin. Islam menggalakkan umatnya bersih dari kedua-dua aspek, dalaman dan juga luaran. Ini kerana seseorang individu itu boleh berubah menjadi baik dan juga sebaliknya bergantung kepada dalaman seseorang individu. Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang berwuduk, mereka digalakkan berdoa sambil berwuduk untuk setiap anggota-anggota wuduknya. Betapa indahnya sesuatu yang telah dikurniakan Allah kepada makhluknya, dan makhluk yang paling istimewa adalah manusia, kerana wuduk ini hanya difardukan kepada umat manusia.


0 comments:

Post a Comment