Subscribe
Add to Technorati Favourites
Add to del.icio.us
Photobucket
Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum. Syukran Di Atas Kunjungan. Untuk Mendapatkan Paparan Lebih Baik, Sila Gunakan Browser Mozilla Firefox. Syukran
Sunday, April 5, 2009

Sifat wuduk NAbi s.a.w (Sunnah)

Posted by Muslim Rituals

1 - Berniat

Maksud niat ialah menyengajakan atau bersungguh-sungguh untuk mengerjakan sesuatu kerana menunaikan perintah Allah ‘Azza wa Jalla. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:

“Tempat niat itu di hati, bukan di lisan sebagaimana yang disepakati oleh para imam kaum Muslimin, sama ada pada ibadah, taharah, solat, zakat, puasa, haji, membebaskan hamba, jihad dan selainnya. Jika diucapkan dengan lisannya tetapi berlainan dengan kehendak hatinya maka yang diterima hanya yang diniatkan oleh hatinya bukan lafaznya. Sebaliknya jika diucapkan niat dengan lisannya sedangkan berlainan dengan niat yang di hatinya maka ia tidak diterima menurut kesepakatan Imam-Imam Muslimin”. (Lihat: Majmu’ ar-Rasail al-Kubra, 1/234)

Setiap amal ibadah dituntut agar dimulakan dengan niat sebagaimana sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Setiap amal itu dimulakan dengan niat, sesungguhnya bagi setiap insan mengikut apa yang diniatkan”. (H/R al-Bukhari, 1/9)
2 - Membaca Basmalah (bismillah)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan agar membaca basmalah (bismillah) di setiap kali hendak berwudhu’. Baginda bersabda:

“Tiada wudhu’ bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah di atas wudhu’nya”. (H/R at-Tirmizi, 26. Disahihkan oleh al-Albani dalam al-Jami’ 7444)

Diketika kekurangan air, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meminta air untuk berwudhu’ maka setelah memperolehi air, baginda memasukkan tangannya ke dalam air tersebut. Baginda memerintahkan para sahabat agar membaca basmalah ketika hendak berwudhu’:

“Semasa Rasulullah meletakkan tangannya di dalam air, baginda bersabda: Berwudhu’lah kamu sekalian dengan nama Allah. Maka aku melihat air keluar dari celah-celah jari-jemari baginda sehinggalah orang yang terakhir (dapat berwudhu’). Thabit bertanya (kepada Anas): Berapa jumlah mereka? Sekitar tujuh puluh orang (jawab Anas)”. (H/R al-Bukhari, 1/236)

Telah dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah, bahawa berdasarkan hadis-hadis di atas maka menurut Imam Ahmad rahimahullah membaca bismillah ketika hendak berwudhu’, hendak mandi dan bertayamum adalah wajib hukumnya. Al-Hasan al-Basri dan Ishaq bin Rahawaih serta ramai para imam-imam yang lain juga berpendapat seperti itu. Menurut Ibnu Qudamah:

“Apabila ditetapkan wajibnya (membaca basmalah), jika ditinggalkan dengan sengaja maka thaharahnya tidak sah kerana meninggalkan yang wajib dalam thaharah sama seperti meninggalkan niat. Adapun jika meninggalkan dengan tidak disengajakan (terlupa) maka taharahnya tetap sah”. (Lihat: Al-Mughni, 1/84)

3 - Membasuh kedua telapak tangan

Disunnahkan membasuh kedua tangan sebelum memasukkannya ke dalam air atau sebelum berkumur-kumur. Dan dituntut supaya mendahulukan yang sebelah kanan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dari Aisyah radiyallahu ‘anha, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyukai mendahulukan yang kanan apabila memakai sandalnya (kasut), ketika berjalan, bersuci dan dalam segala urusan”. (H/R Ahmad, al-Bukhari dan Muslim)

“Dari hadis Abdillah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, beliau telah ditanya tentang wudhu’nya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam maka beliau menuangkan air dengan tangannya, lalu membasuh tangannya tiga kali”. (H/R al-Bukhari, 1/255)

4 - Berkumur-kumur, Istinsyaq, Dan Istinsar

“Baginda berkumur-kumur serta memasukkan air ke hidung (serentak) dengan sebelah tangan dan melakukannya tiga kali”. (H/R al-Bukhari, 1/255)

Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila seseorang kamu berwudhu’ maka hendaklah ia memasukkan air ke dalam hidungnya kemudian ia menyisihkan (menghembuskannya) keluar”. (H/R al-Bukhari, 1/229)

Berkumur-kumur (أَلْمَضْمَضَةُ) ialah: Memasukkan air ke dalam mulut sambil beristinsya’ (menggandingkan atau dengan serentak memasukkan air ke dalam hidung). Syariah berkata: Bahawa dalam mulut dan hidung termasuk muka. (Lihat: Nailul Autar. 1/125) Ketika berkumur-kumur hendaklah menggerak-gerakkan air di dalam mulut dengan bersungguh-sungguh.

Istinsyaq (اَلاِسْتِنْشَاقُ) ialah: Memasukkan air ke dalam hidung dengan tangan kanan, menggerakkan air di dalam hidung, membasuh dan kemudian menghembuskan keluar air tersebut. Cara mengeluarkan air dari hidung “istinsyaq (أَْلإسْتِنْشَاقُ)” ialah setelah mengeluarkan air dari mulut (setelah berkumur-kumur).

Menurut Imam an-Nawawi rahimahullah: “Dari hadis ini (hadis Amru bin Yahya), diambil dalil yang menunjukkan bahawa mazhab yang paling benar ialah sunnah diketika berkumur-kumur dengan membasuh (memasukkan air) ke hidung dengan melakukan kedua-duanya serentak pada setiap kali (berwudhu’) dengan tiga kali cedukan (ambilan) air”. (Lihat: Syarah Sahih Muslim, 3/123)

Istinsar (اَلاِسْتِنْثَارُ) ialah: Bersungguh-sungguh menghirup atau memasukkan air ke hidung dengan tangan kanan (jika tidak berpuasa), kemudian menghembuskan (menyemburkan) air tersebut dari hidung dengan tangan kiri:

“Dari Laqit bin Sabirah radhiyallahu ‘anhu berkata: Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang wudhu’! Baginda bersabda: Sempurnakanlah wudhu’ kamu, sela-selalah celah-celah jari-jemari kamu dan basuhlah hidung dengan menyedut air ke hidung melainkan ketika kamu berpuasa (dengan tidak menyedut bersungguh-sungguh)”. (H/R at-Tirmizi, 38. Juga disahihkan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani)

5 - Membasuh Muka

Cara membasuh muka ialah bermula dari atas dahi (tempat tumbuhnya rambut) sehingga ke bawah dagu. Dari anak telinga kiri ke anak telinga kanan. Membasuh muka adalah perintah dari Allah ‘Azza wa Jalla. Allah berfirman:

“Dan basuhlah muka kamu”. (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Batas muka yang wajib dibasuh ialah (sebagaimana dijelaskan di atas): Panjangnya dari sebelah atas dimulai dari bahagian yang ditumbuhi rambut (jambul) di kepala (di atas dahi), sehinggalah ke dagu dan janggut. Dan lebarnya bermula dari tepi telinga kanan sehinggalah ke bahagian tepi telinga kiri.

Sebahagian ulama seperti Abu Tsaur dan Ishak menghukum wajib mensela-sela janggut, jika meninggalkannya dengan sengaja maka wajib mengulangi wudhu’ dan solatnya kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sentiasa mensela-sela janggutnya dengan air semasa berwudhu’:

“Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengambil seceduk air lalu dimasukkan di bawah dagunya dan mensela-sela (menyilang-nyilang) air pada janggutnya. Kemudian baginda bersabda: Beginilah yang diperintahkan oleh Tuhanku Azza wa-Jalla”. (H/R Abu Daud, 145. Lihat: al-Jami’u as-Saghir, 4572)

“Dari Uthman, bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mensela-sela air pada janggut baginda”. (H/R at-Tirmizi, 31. Menurut at-Tirmidzi, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah, hadis ini sahih. Lihat: Tahzibut Tahzib. 5/69)

6 - Membasuh Kedua Tangan Hingga Ke Siku

“Dan (basuhlah) tangan-tanganmu sehingga ke siku-sikumu”. (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

“Dari Nu’aim bin al-Mujmir ia berkata: Aku pernah melihat Abu Hurairah berwudhu’ lalu dia menyempurnakan wudhu’nya, kemudian ia membasuh tangan kanannya hingga mengenai lengan atasnya (sikunya), kemudian membasuh tangan kirinya hingga mengenai bahagian lengan kirinya hingga mengenai bahagian lengan atasnya. Di akhir hadis ini Abu Hurairah berkata: Demikianlah aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’”. (H/R Muslim, 1/246)

Siku (مرفق) ialah tempat percantuman antara hasta (lengan sebelah bawah) dengan lengan sebelah atas. (Lihat: Kamus Muhith) Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

Menyela Jari-jemari Ketika Membasuh Tangan:

Membasuh sela-sela (celah-celah) jari-jemari sama ada tangan atau kaki adalah perbuatan sunnah yang telah ditinggalkan, ia sangat dituntut kerana telah diperintahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Apabila kamu berwudhu’, maka sela-selalah (celah-celah) jari-jemari kedua tangan kamu dan kaki kamu”. (H/R Ahmad)

“Dari Laqit bin Sabirah radhiyallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: Sempurnakanlah wudhu’ dan basuhlah sela-sela (celah-celah) jari-jemari kamu”. (H/R Abu Daud No. Sahih menurut al-Albani di dalam Sahih Jami’ as-Sagir, no. 940)

Menurut Imam San’ani (Lihat: Subulus Salam 1/47) rahimahullah:

“Secara zahirnya, lafaz jari-jemari yang dimaksudkan adalah jari-jemari kedua tangan dan kedua kaki. Ianya telah dijelaskan melalui hadis Ibnu Abbas”.

“Hadis ini juga adalah dalil yang menjelaskan kewajipan menggosok celah-celah jari-jemari, sebagaimana yang ditetapkan dari hadis Ibnu Abbas, seperti yang telah kami jelaskan iaitu hadis yang telah diriwayatkan oleh at-Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah, al-Hakim dan dihukum hasan oleh Imam al-Bukhari. Adapun caranya ialah dengan menggosok-gosokkan dengan menggunakan jari kelingking tangan kiri bermula dengan bahagian bawah jari-jemari. Mengenai menggosok dengan tangan kiri maka sebenarnya ia tidak terdapat walaupun satu nash, hanya itulah yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali, yang demikian diqiaskan kepada istinja.”

7 - Menyapu (Mengusap) Air Ke Seluruh Kepala

Pendapat yang paling rajih cara menyapu air di kepala ialah menyapu sehingga ke seluruh bahagian kepala iaitu berdasarkan penjelasan Ibnu Qudamah rahimahullah bahawa (Lihat: al-Mughni (di bawah perbahasan wudhu’)):

“Terdapat sebahagian orang yang berpegang dengan pendapat bahawa: Menyapu kepala hanya sebahagian sudah memadai. Mereka berpendapat bahawa huruf (ب) dalam al-Qur’an (بِرُؤُوْسِكُمْ) bermakna sebahagian (التبعيض). Mereka menafsirkan ayat tersebut: Sapulah air pada sebahagian kepalamu. Walaubagaimanapun pendapat kami bahawa huruf (ب) bermakna: Seluruh kepala (الاِلصاق) sebagaimana firman Allah:

فَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ

“Dan sapulah kepalamu (bermaksud: keseluruhan kepalamu)”.

Menurut Imam Asy-Syaukani rahimahullah:

Berikut adalah penjelasan daripada hadis yang membuktikan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyapu (mengusap) seluruh kepala baginda ialah:

“Dari Abdullah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyapu (mengusap) kepala baginda dengan kedua tangannya maka ditemukan kedua tangannya, digerakkan ke belakang. Dimulakan dari bahagian hadapan kepalanya kemudian terus menyapu dengan kedua tangannya sehingga ke tengkuknya, kemudian dikembalikan semula kedua tangannya kebahagian di mana baginda bermula”. (H/R al-Bukhari 1/251)

8 - Mengusap (Menyapu) Air Pada Kedua Telinga

Setelah menyapu air di kepala kemudian terus sahaja mengusap kedua telinga di bahagian luar dan dalam telinga dengan sisa air di tangan. (Lihat: Sifat Wudhu’ Nabi, m/s. 15, Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin). Menurut Syeikh al-Albani rahimahullah:

Tiada ada keterangan di dalam as-Sunnah yang mewajibkan pengambilan air baru untuk menyapu telinga. Maka memadailah dengan sisa air yang digunakan untuk menyapu kepala, sebagaimana hukumnya harus menyapu air di kepala dengan sisa air dari membasuh tangan.

“Dari Abdullah bin Amru radhiyallahu ‘anhu – pada mensifati wudhu’ Nabi – berkata: Kemudian baginda menyapukan air di kepala dan memasukkan kedua jari telunjuknya ke dalam telinga, lalu mengusap bahagian belakang kedua kuping telinga baginda dengan menggunakan kedua ibu jari baginda”. (H/R Abu Daud 135. Disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah)

Menurut Imam Ahmad rahimahullah, Ibnu Musayyib, Atha’, Al-Hasan al-Basri, Ibnu Sirin, Sa’ied bin Jubair, An-Nakhaie, At-Thauri dan Malik bahawa kedua telinga termasuk bahagian kepala maka hukum menyapunya sama dengan menyapu kepala. Kerana Rasulullah sallallahu ‘alahi wa-sallam bersabda:

“Dari Ibnu Majah selain dari muka, dari Nabi salallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Kedua-dua telinga termasuk sebahagian dari kepala”. (H/R Abu Daud. no. 134. Lihat: As-Silsilah As-Sahihah, 1/36)

9 – Sunnah Menyapu Serban Dan Ubun-Ubun (Jambul)

Bagi yang memakai serban, maka memadai menyapu di atas serbannya tanpa ditanggalkan atau menyapu di atas ubun-ubun kemudian di atas serbannya, sebagaimana amalan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Dari ‘Amru bin Umaiyah berkata: Aku telah melihat Rasulullah Shallallahi ‘alaihi wa sallam menyapu air ke atas serban dan kedua sepatu baginda”. (H/R al-Bukhari, 1/266)

Menurut Imam Ahmad rahimahullah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengusap (menyapu dengan air) serban dan jambulnya, ini dilakukan sejalan (bersamaan) berdasarkan hadis Mughirah bin Syu’bah (Lihat: al-Mughni. 1/310) di bawah ini:

“Dari Mughirah bin Syubah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’ lalu menyapu ubun-ubun (jambul) dan atas serban serta dua sepatunya”. (H/R Muslim, 1/159)

(Menurut Lisanu al-Arab, kalimah (اَلنَّاصِيَةُ) ialah rambut yang tumbuh di atas dahi. Asal kalimahnya (اَلنُّصَّةُ) yang jamaknya (نُصَصٌ) bermakna jambul)

(Perhatian: Serban tidak sama dengan songkok, kupiah atau topi kerana semua ini wajib ditanggalkan. Tidak boleh menyapu air di atas songkok, kupiah atau topi.)

10 - Menyapu Di Atas Telekong Atau Jilbab

Dibolehkan bagi para wanita mengusap (menyapu) air di atas telekong atau jilbabnya. Kenyataan ini berdasarkan amalan Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha yang pernah mengusap (menyapu) air di atas jilbabnya. Perbuatan ini telah di nyatakan oleh Ibnu al-Munzir. (Lihat: Al-Mughni 1/312 dan 1/383-384)

11 - Membasuh Dua Kaki

Diwajibkan membasuh dua kaki sehingga kedua mata kaki atau buku lali. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga kedua mata kaki”. (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

“Dari Jarir bin Hazim dari Qatadah dari Anas bin Malik bahawa ada seorang lelaki yang datang kepada Nabi sedang ia telah berwudhu’, ia meninggalkan punggung (tumit) kakinya sebesar tempat kuku (lalu Nabi bersabda kepadanya): Ulangilah dan baguskanlah (sempurnakan) wudhu’mu”. (H/R Abu Daud, Ahmad dan Durqutni)

Berkata Syariah: “Celaka bagi tumit-tumit dari neraka” bahawa hadis ini menunjukkan atas wajibnya membasuh dua kaki, begitulah pendapat jumhur. (Lihat: Nailul Authar, 1/143)

Begitu juga supaya sentiasa sempurna hendaklah dibasuh celah-celah jari-jemari kaki dan mencela-cela dengan jari yang paling kecil iaitu mencela-cela menggunakan jari kelingking.

12 - Tertib

Berwudhu’ hendaklah mengikut tertib (turutan) seperti mana yang telah ditunjukkan melalui dalil al-Qur’an dan as-Sunnah iaitu dengan:

1 – Membasuh tapak tangan
2 – Berkumur-kumur & Memasukkan air ke dalam hidung
3 – Membasuh muka
4- Membasuh tangan sehingga ke siku
5 – Menyapu (mengusap) kepala dan telinga
6 – Membasuh kaki sehingga ke buku lali.

Kesemua ini adalah berdasarkan firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu ingin mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sehingga ke siku, dan sapulah kepalamu dan basuhlah kakimu sehingga kedua buku lali”. (al-Ma’idah 5: 6)

Juga berdasarkan ke-umuman hadis Jabir rahiyallahu ‘anhu, ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ingin memulakan sai’e antara Safa dan Marwah, Baginda menyebut firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah antara syi’ar-syi’ar Allah”. (al-Baqarah, 2: 158). Kemudian Baginda bersabda: Aku bermula dengan apa yang dimulakan oleh Allah, dan Baginda bermula dengan safa.” (H/R Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi memulakan sai’e di Safa kerana Allah memulakan sebutan “Safa” di dalam surah al-Baqarah, 2: 158.

Maka, begitulah juga dengan ayat wudhu’ dalam surah al-Ma’idah tadi. Kemudiannya lagi, ia turut dijelaskan dengan begitu banyaknya hadis-hadis yang menunjukkan tertib seperti itu.


-Artikel ini diringkaskan dari sebuah kertas kerja milik Ust. Abu Farouq al-Atsary-

0 comments:

Post a Comment